ULASAN: PERJUDIAN (S. OTHMAN KELANTAN) oleh A. Affendi0937 (Lekir)

Pengulas: A. Affendi0937 @ Lekir

***

Tajuk: Perjudian

Penulis: S. Othman Kelantan

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 1973

Edisi Cetakan: Edisi Malaysia Membaca Cetakan Pertama

***

Kenali Penulis: S. Othman Kelantan

S. Othman Kelantan merupakan penulis terkenal yang lahir di bumi Kelantan. Beliau merupakan seorang graduan dari Universiti Sains Malaysia dan selepas itu melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD di Universiti Kebangaan Malaysia. 

S. Othman Kelantan pernah berkhidmat sebagai guru sebelum menjawat jawatan terakhir sebagai Professor Madya di Fakulti Pendidikan/ATMA UKM. 

Terkenal dengan novel dan cerpen yang bertemakan kemasyarakatan seperti Pertentangan (1967) Angin Timur Laut (1969), Nagogho Astana (1997) , Ustaz (1991) dan Juara (1973) yang telah difilemkan dan secara khusus telah mengangkat nama Khalid Salleh sebagai pelakon terbaik festival filem Asia Pasifik pada tahun 1998. 

Penulis telah memenangi beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Negara selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1972, 1973 dan 1974. Selain itu, penulis turut dianugerahi Sea Written Award 1990, dan diangkat sebagai Sasterawan Negara ke 9 pada tahun 2003.

Ulasan Novel Perjudian

Novel Perjudian ini mengandungi 25 bab dan ditulis dalam 166 muka surat. 

Tema kemasyarakatan menjadi nadi utama yang menggerakkan pemikiran penulis dalam penulisan novel dan cerpen beliau. 

Berkisahkan tentang sebuah keluarga yang berpindah ke Kampung Paya Kedondong, Tanah Merah; selepas menjual petak sawah di Pasir Mas demi mengubah nasib kehidupan susah yang ditanggung saban hari. 

Watak utama terdiri dari Pak Mat dan anaknya Sarah. Di samping beberapa watak yang muncul dalam kehidupan seharian mereka di Kampung Paya Kendondong. 

Bagi Pak Mat, tanah melambangkan pangkat dan darjat. Dia "berjudi" nasib ketika membuat keputusan untuk meneroka kawasan hutan dan selepas itu dijadikan ladang pertanian.

Bermulalah konflik dalam hidup Pak Mat apabila tahun demi tahun dijalani dengan berhadapan pelbagai dugaan— konteks ini dijadikan sebagai pokok persoalan yang cuba disampaikan oleh penulis. 

Saya berpendapat, watak Pak Mat merupakan kekuatan dalam novel ini. 

Seorang yang teguh pendirian, kuat imannya dan rajin. Pak Mat menggambarkan bahawa hanya dengan bekerja kuat, seseorang itu dapat mengubah nasib keluarganya. 

Ini merupakan salah satu pengajaran yang mahu ditonjolkan secara jelas oleh penulis kepada pembaca. 

Sebagai seorang Muslim, Pak Mat sentiasa yakin dan percaya kepada Allah, serta kepada qada' & qadar. Tidak pernah sekalipun dia menyalahkan takdir Allah dalam setiap ujian yang dihadapinya. 

Penulis mewujudkan beberapa konflik dan menceritakan secara terperinci kejadian sepanjang perjalanan novel Perjudian ini; bermula dengan episod kematian anak-anak Pak Mat dan Mek Nab, gangguan babi yang akhirnya bertukar menjadi sebuah laba yang membawa keuntungan, tentang keselamatan anak daranya Siti Sarah, dan kemuncaknya ialah apabila kerajaan ingin menghentikan usahanya dan menghalau dia dari mengusahakan tanah yang telah dikerjakan selama lebih 6 tahun. 

Dalam masa yang sama, konflik yang disebabkan kemarau terus menusuk kekentalan jiwa Pak Mat yang telah dimamah usia. Musim kemarau telah membunuh benih-benih harapan yang masih tertinggal dalam hati Pak Mat; terhadap tanah yang diusahakan sejak sekian lama. 

Pemikiran dan Teknik: Pemakaian Bahasa dalam Perjudian

S. Othman Kelantan merupakan seorang penulis yang hebat dalam mengetengahkan persoalan besar dalam novel beliau. 

Semua penceritaan yang ditulis seolah memperkata kejadian sebenar jika diuruti 'kronilogi' kisah di negara kita. 

Contohnya, apabila penulis menggambarkan keadaan sewaktu rakyat miskin membuka tanah hutan; semua perkara yang dilakukan mereka menjadi satu kesalahan dan akan diambil tindakan. Seolah-olah keadaan ini menggambarkan bahawa undang-undang diwujudkan untuk menindas. Padahal, ia sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan kalis kezaliman. 

Namun berbeza pula situasinya ketika hutan-hutan simpan ditebang dan khazanahnya didagang sehingga berpuluh ribu ekar. Tidak ada pihak yang bersuara. Semuanya diam seribu bahasa. Tidak berkutik. 

Dalam plot ini, penulis secara tegas menyelitkan kritikannya kepada ahli politik yang pandai mempergunakan masalah setempat masyarakat. Erti kata lain, mereka dengan sengaja "menunggang" kesusahan dan kedhaifan rakyat demi kepentingan dan percaturan kerjaya politik. 

Dalam pertengahan cerita, penulis menggambarkan bagaimana wakil rakyat mempengaruhi orang Kampung Paya Kedondong untuk melakukan protes di Dewan Undangan Negeri usai Sultan Kelantan merasmikan Persidangan Dun Undangan Negeri Kelantan. 

Sadisnya, selepas dipukul belantan dan dicampak ke lokap; batang hidung wakil rakyat tidak pernah lagi singgah dan berdiri di depan mata orang Kampung Paya Kedondong. Protes yang diusahakan, bertukar menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka yang terlibat. 

Jika diamati, penulis amat mahir dalam menggunakan teknik pengulangan. Ia sebagai penegasan dari penulis kepada pembaca; tentang perbualan antara watak; dan situasi yang dialami telah digambarkan secara jelas kepada pembaca. 

Penggunaan gaya bahasa seperti simile dan hyperbola digunakan dengan kerap oleh penulis dalam mengindahkan pengkaryaan beliau. 

Keadah hyperbola yang ditulis amat menarik minat saya sebagai pembaca, untuk meneroka maksud dalam sesuatu keadaan atau mana-mana konflik yang diwujudkan dalam novel ini. 

Ya, tidak janggal jika saya katakan— kita seolah sedang mendengar atau menonton sebuah persembahan lakon layar ketika membaca novel ini. 

Perjudian melawan Angin Timur Laut: Sebuah Perbandingan

Saya cuba membandingkan tulisan beliau dalam novel Angin Timur Laut. 

Persamaan tentang tema kemasyarakatan telah diangkat dalam kedua-dua novel ini. 

Pertama, tentang kemiskinan serta konflik antara manusia dan alam. 

Dalam Angin Timur Laut; musim tengkujuh secara jelas melambong ganas seperti ributnya perasaan rakyat Kelantan ketika menghadapi gelora. 

Musim kemarau pula mengeringkan semangat penduduk dan secara jelas dinyatakan dalam novel Perjudian; sebagai konflik yang dihadapi oleh rakyat Kelantan saban tahun. Malah, konflik ini masih relevan dibincangkan sehingga hari ini.

Jika disoroti penceritaan dalam kedua-dua novel ini, pembangunan plot dan perkembangan pemikiran dalam kedua-dua novel, malah, kisah yang disampaikan juga kelihatan hampir sama. 

Secara relatif, saya menyimpulkan bahawa S. Othman Kelantan menggunakan medium penulisan secara berani untuk menceritakan derita dan kesusahan rakyat. 

Selain itu, pembaca juga dapat memahami tentang kekejaman pihak kerajaan yang ingin menghalau Pak Mat dari tanahnya dalam Perjudian dan betapa kejamnya penghulu dalam novel Angin Timur Laut yang langsung tidak punya hati perut. 

Ulasan dan saranan: Bukan semua yang lama akan basi

Saya syorkan masyarakat terutama remaja, golongan pelajar dan mahasiswa— untuk membaca buku ini sebagai santapan jiwa agar kita tidak hidup sebagai sebuah mesin yang hanya berjalan bila dituang minyak atau disembur gas. 

Antara lain, meski isinya ditulis pada 1973, buku ini masih relevan dalam menyampaikan kesedaran kepada pembaca tentang ulah dan perangai ahli politik di negara ini secara sedar dan keras. 

Dari pembacaan ini, dapatlah disimpulkan bahawa perangai dan permainan politik di negara ini; sejak dulu sampai sekarang masih tiada beza.

Sekali lagi, ini hanyalah ulasan peribadi sebagai pembaca untuk kita sama-sama jadikan ikhtibar. 

"Yang baik kita ambil dan jadikan panduan. Yang buruk, kita tinggal." 



Comments

Popular posts from this blog

Dunia perbukuan di Malaysia: Promosi, Ulasan & Kritikan

KRITIKAN: KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH